Sunday, December 9, 2012

Syukur Syukurlah

Assalamualaikum w.b.t,

Di pagi hari ini, kita sering merancang pelbagai aktiviti yang akan dibuat pada hari ini. Semoga ia berjalan lancar dan selari dengan perancangan Allah kepada kita...Akan tetapi jangan dilupakan perkara yang lalu. Moga ia menjadi pengajaran buat hari esok...

Tajuk post ini merujuk kepada satu lagu yang dulu aku sangat suka menyanyi. Lagu yang mengingatkan kita supaya sentiasa bersyukur dalam setiap tindakan kita.

Tajuk Nasyid : Syukur Syukurlah
Artis : Unic
Album : You And I See

Mulakanlah harimu dengan memuji Allah
Seiring siulan burung ceria berterbangan
Berzikirlah dengan alunan Asma’ul husna
Bersyukurlah kita masih dibangkitkan
Mulakanlah usaha dengan memuji Allah
Pergilah mencari rezeki semaikan bakti dan budi
Carilah nikmat yang banyak berpandukan pada syariat
Agar hidup kita semua selamat

Mulakanlah harimu dengan memuji Allah
Seiring siulan burung ceria berterbangan
Berzikirlah dengan alunan Asma’ul husna
Bersyukurlah kita masih dibangkitkan
Kayuhlah kehidupan ini dengan mensucikan Allah
Hembusan ombak di pantai nelayan
Semua mencari rezeki
Lambaian padi di sawah petani
Bagaikan permata bagai mutiara
Yang terpancar dari keringat mereka
Demi kesejahteraan semua

Labuhkanlah tirai harimu dengan keampunan Allah
Di dalam alpa tertempa dosa
Kita semua insan yang lemah
Tanpa sedar tanpa sengaja
Terkadang kita semua terlupa
Kita adalah insan yang lemah
Kepada-Nya kita berserah

Lirik lagu ini dicipta ada maksud yang terselindung. Kita janganlah sekadar menyanyi lagu yang kita minat tetapi cubalah memahami lirik-lirik yang kita dendangkan supaya kita dapat mengambil manfaat dari apa yang kita buat. Dan akhir sekali ingatlah firman Allah Surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud:

Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami (Allah) akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih’.” (QS: Ibrahim: 7)

~Fahami,Hayati,Realisasikan~
 

Saturday, December 8, 2012

Difahami dan Memahami

Assalamualaikum w.b.t,

Mukadimah
Kekuatan yang diharapkan dari orang sekeliling
Sudah sekian lama bersawang blog ini, terdetik hati ini untuk melibatkan semula dalam aktiviti 'blogging' ini. Alhamdulillah sekarang ini sudah tamat masa untuk aku berpraktikal dan akan memulakan semula aktiviti sebagai pelajar pada 14 Januari 2013. Syukur pada Allah yang telah memberikan aku kekuatan untuk menghadapi dunia sebenar untuk bekerja walaupun hanya 7 bulan, ia cukup untuk aku berkongsi dengan adik-adik yang bakal aku jumpa di kampus kelak. Untuk permulaanya aku ingin memupuk satu perkara yang kian dilupakan oleh generasi pada masa kini iaitu budaya Faham dan Memahami.

DIFAHAMI
Apa yang Allah jadikan itu ada pasangannya. Siang bersama malam, bulan bersama matahari dan lelaki bersama perempuan. Itulah fitrah setiap ciptaan Allah. Firman Allah dalam Surah Az-Zariyat yang bermaksud:

"Dan bagi setiap sesuatu, Kami telah cptakan secara berpasangan."

Begitulah juga dengan perasaan kita manusia yang ingin difahami. Kita sentiasa mengharapkan orang lain mahupun sahabat, ibu bapa, adik beradik untuk memahami kita. Apabila orang lain memahami keadaan dan situasi kita, kita lebih merasa dihargai dan diperlukan dalam hidup setiap orang yang ada. Sebenarnya manusia di sekeliling kita tidak mengharapkan banyak perkara dari kita tetapi perkara yang paling penting adalah mereka ingin difahami.

Difahami ini seumpama kita memberi penghargaan atas keberadaan kita bersamanya. Ingatlah ia adalah suatu kekuatan yang diberikan secara semula jadi.

MEMAHAMI
Selain kita perlu memahami orang di sekeliling kita, kita juga mahukan orang lain di sekeliling kita ini memahami kita,faham hasrat hati kita, impian kita dan cita-cita kita. Di samping memberi kekuatan untuk kita lebih kuat menghadapi cabaran dan ujian yang melanda.

Kadang-kadang kita bersahabat sudah lama tetapi kita tidak cuba memahami orang di sekeliling kita sehingga menyebabkan semua orang terasa hati dengan sikap yang endah tak endah kita pada semua orang.

Penutup

Faham-memahami, kasih-mengasihi, sayang-menyayang. Semuanya berpasang-pasang dan adalah satu kesilapan besar apabila kita cuba menolak fitrah yang ada pada manusia ini sehingga kita menjadi robot yang hanya memenuhi ruang-ruang yang ada di muka bumi ini tanpa sebarang manfaat pada orang di sekeliling.

Semoga ia bermanfaat buat semua pembaca.

~Fahami,Hayati,Realisasikan~