Friday, April 29, 2011

Pencari Cinta Hakiki



Pencari cinta...
Apa definisi cinta pada khidmat kalian,
Hanya pada manusia atau penciptaNya,
Hanya pada harta atau pemberi kurnia,
Hanya pada nafsu atau untuk memperoleh mardhotillah,


Pencari cinta,
Jika cinta manusia yang kau cari,
Ia akan hilang dimamah usia,
Jika cinta pada harta yang kau impi,
Ia akan habis dikikis bumi,
Jika kau cinta kerana Ilahi,
Ia akan bterus bersemi,
Menjadi jambatan menuju syurga yang abadi.


Pencari cinta,
Usah mengemis pada manusia,
Usah terleka dengan emas dan permata,
Buka pintu hati kita bersama ,
Untuk memperoleh mahabbatullah,
Cinta yang kekal hingga ke akhirnya.


11.46pm / 28 April 2011


Thursday, April 28, 2011

Kelahiran Semula Mengubah Hala

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, 

Assalamualaikum w.b.t,

Sebuah perubahan menuntut pengorbanan, langkah pertama juga meminta kekuatan. Dengan adanya kekuatan maka tergeraklah hati ini menukilkan karya-karya ilmiah untuk perkongsian bersama. Apa khabar kalian? Semoga sentiasa sihat sejahtera di bawah naungan rahmatNya. Alhamdulillah, akhirnya dapat jua diri ini menghasilkan sebuah medan berseloka setelah lama mengimpikannya.

Rasulullah S.A.W bersabda “Sampaikanlah pesanku walaupun sepotong ayat”

Nukilan ini adalah sebagai sebuah perhitungan awal sebelum datangnya hari perhitungan maka tergeraklah hati untuk bersama-sama kita mengembara di dunia ini mencari bekalan untuk dituai di hari akhirat kelak.

Sebelum ini diri ini berkarya di lama sesawang lain (alpha90.blogspot.com) akan tetapi laman itu akan dijadikan medium berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan laman ini akan berfungsi sebagai tempat diri ini berkarya dan berceloteh dalam bahasa ibunda tercinta.

Usah dirisaukan jika permulaan ini berbentuk islamik namun kembara ini akan membawa semua golongan untuk menaiki bahtera untuk bersama-sama  dengan pembawaan yang santai dan terbuka tanpa mengingkari batas-batas penulisan. Mungkin pada ketikanya, diri ini akan membuat penulisan formal dan ada ketikanya menjadi santai dan berbasa-basi dengan tema yang sesuai.

InsyaAllah, setiap artikel akan menjadi pesanan untuk saya dan untuk kalian semua sebagai muhasabah seharian agar diri ini sentiasa mengingati tujuan, matlamat dan halatuju penciptaan diri ini. Selain itu, diri ini akan berusaha mengemaskinikan laman ini agar tidak dipenuhi sarang labah-labah. Bersama kita berkelana memakmurkan Bumi ini agar lebih sejahtera.

Wallahualam...