Tuesday, January 8, 2013

Masanya Akan Tiba

Assalamualaikum w.b.t,
Umur 20an ini memberi banyak cabaran kepada ramai belia. Apabila berbual topik yang dibincangkan akan terarah kepada hal pasangan atau perkahwinan walau sehebat mana pun diri menafikan untuk memikirkan tentang perkara ini. Tidak terkecuali dengan diri pengembara ini yang sentiasa dibayangi dengan keadaan keluarga yang bahagia, isteri yang membantu dan anak-anak yang menyeri kehidupan ketika lelah menyelubungi hari.

Bercerita tentang pasangan hidup masing-masing, kita tidak akan lari dari memilih sesuatu yang baik untuk diri kita. Memandang kepada kecantikan, kekayaan dan kehebatan keluarganya. Itu adalah fitrah manusia. Sukakan kepada sesuatu yang cantik, kaya dan tinggi darjat tetapi jangan dilupakan yang kita ingin membina suatu masjid yang dalamnya diimarahkan. Jika masjid diimarahkan dengan mengadakan majlis ilmu, solat berjemaah dan usrah maka keluarga juga memerlukan pengisian yang dapat memurnikan suasana rumahtangga itu. Oleh sebab itu janganlah hanya memilih pasangan sekadar memandang kepada kecantikan, kekayaan dan darjat tetapi lihatlah pada agamanya. Dengan itu kita akan dapat lihat perjalanan rumahtangga akan lebih terisi.

Abu Hurairah r.a Rasulullah s.a.w bersabda:"Wanita dikahwini kerana 4 hal (perkara): kerana harta bendanya, kerana keturunannya, kerana keindahan wajahnya, dan kerana ketaatannya kepada agama.
Maka pilihlah wanita yang taat kepada agama, maka kamu akan berbahagia."
 (Terjemahan Hadis: Sahih Bukhari)
 

Kenapa kita perlu menitikberatkan semua hal ini dalam pemilihan pasangan? Jawapannya mudah sahaja. Kita nak yang terbaik untuk keluarga, diri dan generasi kita yang akan datang. Jadi kita akan memilih pasangan yang tinggi ilmunya, cantik rupanya, banyak hartanya dan tinggi darjatnya. Akan tetapi sukar kita untuk mencari semua itu kerana Allah itu adil. Dia tidak akan memberikan semuanya kepada satu pihak sahaja kerana Dia ciptakan manusia berpasang-pasangan untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Jika kita teliti kebanyakan bait-bait lagu ada menyatakan cinta manusia akan pudar. Bila dilihatkan benar bait kata ini kerana jika dilihat pada pasangan itu akhirnya segala kecantikan,kekayaan dan darjat akan hilang. Jadi itulah kelebihan apabila memilih agamanya. Ia sentiasa menerangi rumahtangga yang dibina.

Namun begitu, kita perlulah juga mencuba untuk menjadi apa yang kita mahukan dalam rumahtangga. Jika mahukan pasangan yang hebat,kita juga perlu hebat. Berusahalah untuk menjadi yang terbaik di mata masyarakat.

Akhir kalam, jodoh itu telah ditentukan dan berusahalah mencarinya. Ia tidak datang bergolek dengan hanya menunggu. Jika perasaan ini hadir dalam diri, jagalah ia dengan sebaiknya. Cinta itu adalah sebuah perasaan yang suci, maka salurkan ia pada jalan yang betul. Elakkan ia terarah kepada menurut nafsu semata. Perjalanan sebuah rumahtangga itu jauh, buatlah persediaan bukan sekadar untuk mendapatkan pasangan yang baik tetapi apa yang ingin diisi dalam bahtera rumahtangga itu.